Bingkai : Jangan Salah Pilih!

Pernahkah anda terfikir, bagaimana karakter superhero komik DC yang terkenal seperti Superman tidak dikenali oleh sesiapa pun apabila beliau bertukar menjadi seorang wartawan berkaca mata bernama Clark Kent? Walaupun ia hanyalah watak fantasi, dan kedengaran sedikit tidak logik, namun tahukah anda, kadangkala dengan pemilihan bingkai cermin mata beserta penggayaan tertentu, raut wajah anda juga akan kelihatan sedikit berlainan? Jadi, tidak mustahil juga masyarakat Metropolis agak sukar mengecam  Superman dan Clark Kent. 

Pemilihan bentuk bingkai memainkan peranan penting dalam menentukan raut wajah  yang ‘kena’ dengan wajah. Pemilihan bingkai tidak bersesuaian dengan bentuk muka mampu memberi tanggapan salah pada pandangan pertama contohnya, watak Mrs. Hew dalam animasi Kampung Boy yang tampak garang dengan bingkai berbentuk ‘cat eye’.

Watak Mrs. Hew tampak garang dengan bingkai “cat eye”.

Secara keseluruhannya, pemilihan bingkai yang menawarkan kesesuaian kepada pemakainya adalah sulit untuk diperkatakan. Pemakai harus menilai beberapa perkara penting  agar pencarian bingkai yang sempurna berjalan lancar, antaranya :

  1. Bentuk muka
  2. Warna kulit

BENTUK MUKA DAN PEMILIHAN BINGKAI

Umum mengetahui bentuk wajah setiap individu adalah berbeza. Ada yang berbentuk bujur, bulat, petak, trapezoid dan juga bebentuk hati.

BENTUK MUKA BUJUR

Individu yang mempunyai raut wajah berbentuk bujur kebiasaannya menampakkan bentuk wajah yang terletak, cantik dan menawan. Dahi yang kecil, dagu yang sedikit bulat dan tulang pipi yang sedikit menonjol menjadikan individu yang berwajah bujur mempunyai kelebihan besar dalam pemilihan reka bentuk bingkai. Ini kerana mereka sesuai dengan hampir mana-mana bingkai. Bingkai berbentuk petak, bulat, jenis ‘cat eye’, jenis ‘nerd glasses’ yang berbingkai besar dan tebal atau reka bentuk unik seperti bintang dan hati adalah bersesuaian dengan  raut wajah bujur. Bingkai jenis ‘rimless’ juga sepertinya pilihan yang sesuai  untuk raut wajah bujur.

Elakkan daripada menggunakan bingkai terlalu kecil dan berbentuk bulat. Pastikan bingkai tersebut tidak terlalu besar di bahagian pelipis mata (bahagian muka di antara dahi dgn telinga).

BENTUK MUKA BULAT

Wajah bulat seringkali tampak comel dan menarik. Bahagian pipi mereka yang tembam menyembunyikan penampakan tulang rahang sehingga membuatkan panjang dan lebar muka mereka kelihatan sama. Bahagian dagu mereka yang bulat boleh dikatakan sebagai ‘trademark’untuk individu berwajah bulat.

Individu berwajah bulat digalakkan untuk mencari bingkai yang tidak menonjol atau tebal agar tidak terlalu menampakkan kelebaran raut wajah. Mereka juga dianjurkan untuk menggunakan bingkai yang bersegi atau bersudut seperti bentuk petak atau segi empat tepat. Pemilihan bingkai jenis separa penuh atau jenis penuh tetapi tidak terlalu tebal di bahagian bawah bingkai juga antara alternatif yang terbaik untuk individu yang beraut wajah bulat.

BENTUK HATI ATAU SEGITIGA

Individu yang mempunyai raut wajah berbentuk hati kebiasaannya berdahi luas dan tulang pipinya agak menonjol. Mempunyai dagu yang runcing, mereka sesuai untuk menggunakan jenis bingkai penuh namun tidak terlalu tebal berbentuk bujur atau bulat. Uniknya, mereka juga sesuai jika dipadankan dengan bingkai berbentuk ‘cat eye’. Ini kerana bentuk bingkai itu sendiri yang mempunyai bahagian bawah yang kecil membawa kepada bahagian atas bingkai yang tebal menampakkan keseimbangan pada raut wajah mereka.

heart shaped 2

BENTUK LONJONG ATAU SEGI EMPAT TEPAT

Individu yang mempunyai bentuk muka segi empat tepat, mempunyai tulang pipi, dahi dan tulang rahang yang sedikit lebar. Bahagian sisi wajah mereka yang  panjang memperlihatkan seakan garisan menegak di bahagian sisi wajah. Individu sebegini agak sukar untuk mencari bingkai yang benar-benar terletak di wajah mereka.

 Mereka sesuai untuk memilih bingkai berbentuk bujur dan bulat. Selain itu, pemilihan bingkai yang agak tebal dan bingkai yang mempunyai  keluasan ‘bridge’ yang lebar serta kedudukan ‘temple’ (tangkai cermin mata) yang agak rendah dengan kedudukan telinga mampu menyerlahkan penampilan si pemakai.  Bingkai jenis ‘rimless’ sangat sesuai untuk individu berwajah segi empat tepat.

Adalah perlu diingatkan kepada individu berwajah segi empat ini untuk mengelak daripada memilih bingkai yang cermin yang terlalu besar. Ini kerana bingkai yang terlalu besar akan membuat wajah pemakai menjadi lebih pendek sekaligus mencacatkan kelonjongan raut wajah.

rectangle 2

BENTUK ‘TRAPEZOID’

Apa itu ‘trapezoid’? individu yang mempunyai keluasan dahi sehingga kawsan pelipis yang kecil dan tulang rahang sehingga bahagian dagunya menonjol dan melebar dipanggil bentuk muka ‘trapezoid’. Menariknya, pemilihan bingkai berbentuk unik seperti  ‘cat eye’ ataupun ‘butterfly’ dikatakan sesuai dengan bentuk wajah mereka. Selain itu, mereka juga digalakkan memilih bingkai jenis penuh atau separa penuh dengan reka bentuk yang tebal di bahagian atas bingkai mampu menyeimbangkan bentuk muka trapezoid.

trapezoid 1

BENTUK MUKA PETAK

Bentuk muka petak kelihatan lebih kurang  seakan  bentuk ‘trapezoid’ cuma sedikit lebar dan tidak lonjong. Bahagian dagu, rahang dan dahi kelihatan menonjol. Mereka juga mempunyai tulang pipi yang tinggi.

Bingkai berbentuk bulat menampakkan si pemakai yang mempunyai raut wajah petak lebih mempersona.  Mereka juga digalakkan untuk memilih bingkai separuh bulat , dengan reka bentuk yang rata di bahagian atasnya supaya wajah pemakai kelihatan lonjong. Bingkai jenis ‘rimless’ juga sesuai untuk individu berwajah petak.  

Namun begitu pastikan si pemakai mengelakkan daripada bingkai yang labuh sehingga menutupi tulang pipi kerana ia akan membuatkan wajah pemakai tampak tenggelam. Elakkan juga bingkai yang kecil daripada saiz muka dan bingkai yang terlalu petak supaya tidak kelihatan terlalu ‘skema’.

petak 1 demi moore1

TONA KULIT

PUTIH MELEPAK

Individu yang mempunyai tona kulit putih melepak adalah sangat sesuai dengan warna bingkai yang berwarna sejuk dan ‘cool’ seperti hitam, putih, kelabu dan biru. Ini akan menyerlahkan seri muka si pemakai. 

 

KUNING LANGSAT

Individu yang berwarna kuning langsat ini warna kulitnya agak cerah  tetapi lebih kepada kekuningan sedikit. Bingkai berwarna putih natural, krim kekuningan, ungu, coklat, emas, ‘copper’ dan ‘bronze’ agak sesuai dengan mereka. Pemilihan bingkai bercorak Havana juga sesuai dengan pemilik tona kuning langsat.

 

SAWO MATANG

Kebanyakan masyarakat di Malaysia mempunyai tona seperti ini. Secara optima mereka ini digalakkan memilih bingkai berona merah gelap, coklat, dan hijau. Namun, warna emas, ‘bronze’ dan ‘copper’ jugaadalah pilihan yang sesuai. Warna-warna natural ini seakan kombinasi  tepat untuk mereka yang berkulit sawo matang.

HITAM MANIS

Individu yang mempunyai tona hitam manis pula digalakkan memilih rona coklat, warna keemasan seperti warna madu, kuning air,dan hijau zaiton. Elakkan daripada memilih warna pastel.

 

Pemilihan bingkai yang tepat memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang. Ia juga boleh membina keyakinan yang mampu menceriakan hari si pemakai.  Namun apa yang paling penting adalah keselesaan dan kesenangan anda. Jadi, pilih bingkai yang tepat supaya hari anda seterusnya bertambah indah!

 

Disediakan oleh :

N. Ismail

Konsultan,

HS Optometrist

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top