‘Cahaya Biru’ Dalam Kehidupan

CAHAYA BIRU DAN KESAN KEPADA MATA

Era modenisasi kini menyaksikan banyak perubahan samada dari segi pembangunan dalam kehidupan reality mahupun di ruang maya yang tidak boleh disangkal lagi. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memperlihatkan  kemunculan alatan dan aplikasi terbaru yang berlumba-lumba membuktikan kemampuan syarikat  masing-masing. Namun dalam kerancakan kemajuan teknologi, kita seakan tidak menyedari  setiap gajet yang dibina pasti mengeluarkan frekuensi cahaya biru yang memudaratkan mata.

APA ITU CAHAYA BIRU?

Cahaya biru atau ‘blue light’ adalah sebahagian daripada spectrum yang dapat dilihat dan sering dirujuk sebagai Cahaya Bertenaga Tinggi atau  ‘High-Energy Visible Light’ (HEV) . Ia biasanya ditakrifkan di dalam skala 300 hingga 500 nanometer.

 Sinar cahaya biru bukan sahaja ada pada alatan digital yang berskrin sahaja bahkan ia juga berada di sekeliling kita seperti cahaya dari

lampu di bilik tidur anda sehinggalah lampu LED yang dipasang untuk menerangi pusat

membeli belah yang selalu anda singgah. Dan jangan tak tahu ya, matahari adalah pengeluar sinar cahaya biru  secara semulajadi!

Apabila cahaya biru dibiaskan oleh molekul air dan udara, ia menghasilkan warna langit biru yang sangat indah.

ADAKAH ‘BLUE LIGHT’ INI MEMUDARATKAN ?

Mata manusia sebenarnya masih memerlukan sedikit sinar cahaya biru dalam kehidupan seharian untuk membantu dalam ketajaman ingatan dan fungsi kognitif seseorang. Sinar cahaya biru juga mampu mempengaruhi ‘mood’ kita dengan meningkatkan hormone serotonin dan mengurangkan hormone melatonin yang meningkatkan kualiti tidur kita. Cahaya biru juga membantu dalam meningkatkan kewaspadaan manusia dalam kehidupan seharian.

Malah, di luar negara, terapi yang menggunakan cahaya ‘blue light’ dilakukan untuk menggantikan matahari yang ‘hilang’ ketika musim sejuk untuk penghidap Gangguan Efektif Bermusim atau ‘Seasonal Effective Disorder’ (SAD)  iaitu sejenis kemurungan yang berkaitan dengan perubahan musim .

Maka, ternyata sinar cahaya biru tidaklah se’jahat’ seperti  yang disangka, kan? Namun begitu, jika kita terdedah dengan cahaya biru yang terlampau ia akan mengganggu kitaran tidur, sukar tidur di waktu malam,masalah penglihatan dan sebagainya.

BAGAIMANA ‘BLUE LIGHT’ MEROSAKKAN MATA?

Pernahkah anda mengalami mata pedih, iritasi dan kemerah-merahan setelah seharian menghadap telefon atau komputer?  Gaya hidup digital ini turut meningkatkan risiko kepada kesihatan terutama mata apabila organ penting itu mengalami keletihan, sukar fokus pada pada jarak dekat terutamanya  waktu petang, dan mata kerap berasa kering.

Cahaya biru memasuki mata melalui kornea yang terletak di bahagian depan bebola mata sebelum kanta membawa cahaya itu kepada retina. Kornea adalah penghadang telus yang melindungi iris, pupil dan bahagian luaran lain. Ia seterusnya sampai ke retina yang sangat nipis lalu cahaya biru tersebut mampu menjejaskan kanta dan retina.

Di samping itu, pendedahan cahaya biru secara berterusan boleh  mengakibatkan sel retina mati perlahan-lahan lalu menyumbang kepada kemerosotan makular atau  ‘macular degeneration’ yang mana biasanya dihidapi oleh mereka yang berusia 70 hingga 75 tahun. Namun,  sinaran cahaya biru mampu mempercepatkan proses kira-kira 10 tahun lebih awal. Kesan ini juga boleh dihidapi oleh kanak-kanak akibat terdedah terhadap cahaya biru dari skrin paparan gajet sedari kecil lagi.

ALAMAK!!! ADA CARA TAK UNTUK KURANGKAN KESAN ‘BLUE LIGHT’ NI?
  1. Kawal tempoh penggunaan alatan digital

Cuba untuk tetapkan masa penggunaan gajet dalam sehari terutamanya kanak-kanak. Terangkan pada mereka secara berhemah bahayanya kesan cahaya biru terhadap mata. Elakkan penggunaan gajet pada waktu malam kerana cahaya biru dari gajet  boleh mengganggu kitaran waktu tidur seseorang.

  1. Tips 20-20-20 dan ‘Blink!’

Amalkan penggunaan tips 20-20-20 apabila melakukan sesuatu secara dekat seperti menggunakan komputer selama 20 minit terlebih dahulu dan berehat selama 20 saat dengan melihat sesuatu yang bersaiz besar sejauh 20 kaki (6 meter) untuk mengelakkan simptom ‘Digital Eye Strain’ yang membuat mata anda sukar untuk fokus, kerap sakit kepala  dan simptom mata letih.

Yang paling penting jangan lupa kerdipkan mata ya! Ini kerana apabila kita terlalu fokus terhadap skrin seperti computer, otak akan terlupa untuk mengerdipkan mata lalu menyebabkan mata kering sekaligus memberi kesan iritasi . Justeru, apabila kita mengerdipkan mata, kelopak mata bertindak untuk meratakan air mata ke seluruh permukaan mata.

  1. Penggunaan cermin perlindungan gajet

Penggunaan cermin yang mengandungi lapisan ‘blue control’  mampu mengurangkan kemasukan amaun spektrum cahaya biru yang dipancarkan oleh skrin digital, mengurangkan silau dan meningkatkan pencahayaan sekaligus mengurangkan rasa sakit kepala yang kerap mengganggu anda. Cermin yang mempunyai warna kebiru-biruan ini juga boleh mengurangkan masalah mata letih anda.

Lapisan ‘blue control’ juga  bertujuan untuk menjadikan mata dalam keadaan lebih baik sambil menawarkan penglihatan yang lebih selesa dan santai. Lapisan ‘Blue Control’ juga  sangat disyorkan untuk individu yang memerlukan jangka masa yang lama dengan skrin digital, seperti  pelajar, ‘gamer’,  dan pekerja pejabat meskipun anda tiada masalah rabun.

Ada pelbagai jenama cermin yang mengandungi lapisan ‘blue control’ di pasaran. ada yang mahal dan ada juga yang masih dalam harga mampu milik. Masing-masing mempunyai kelebihan  tersendiri.

Jadi, terpulang kepada anda untuk membuat pilihan yang sesuai dengan citarasa anda. Jangan lupa untuk kunjungi optometris yang berdekatan setahun sekali  jika mengalami sebarang simptom. Ingat! Merawat lebih baik daripada mengubati.

 

Disediakan oleh :

N. Ismail

Konsultan,

HS Optometrist

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top